KETIKA majlis prebiu filem Jiwa Taiko yang berlangsung baru-baru ini, mata para wartawan tertumpu pada jari pelakon Diana Danielle, 21, yang tersemat sebentuk cincin di jari manisnya.
Mengakui cincin tersebut adalah pemberian kekasih hati iaitu Farid Kamil, 31, pelakon berkenaan memberitahu ia merupakan hadiah sempena sambutan ulang tahun percintaan mereka yang ketiga.
Berkesempatan bertemu sendiri dengan Farid dalam sebuah majlis kelmarin, pengarah dan pelakon popular itu berkesempatan menceritakan detik-detik manis sewaktu memberikan hadiah tersebut kepada kekasihnya itu.
Kosmo!: Bila Farid menghadiahkan cincin tersebut kepada Diana?
FARID: Seingat saya pada 1 Januari lalu sewaktu kami makan malam berdua di sebuah restoran. Namun, terjadi beberapa perkara menarik sebelum Diana mendapatkan cincin itu daripada saya.
Pada masa itu saya sengaja membuatkan Diana berasa dalam keadaan tertekan dan marah. Misalnya, saya ambil dia di rumah lewat sejam sehingga dia marah kepada saya sehingga tiba di restoran tersebut.
Saya sengaja berbuat begitu kerana ingin memberikan kejutan buat dirinya. Sewaktu dia sedang marah-marah terus saya hulurkan sebentuk cincin kepadanya sehingga dia mengalirkan air mata kegembiraan.
Kenapa pilih cincin sebagai hadiah ulang tahun percintaan yang ketiga?
Sebenarnya saya pernah menghadiahkannya seekor kuda semasa ulang tahun kelahirannya pada tahun lalu. Saya ambil keputusan untuk menghadiahkannya sebentuk cincin kerana ini kali pertama saya memberikan hadiah kepadanya sempena ulang tahun percintaan kami.
Jadi, saya tidak mahu peminat menyangka yang ia merupakan cincin merisik atau bertunang. Buat masa ini kami masih lagi bercinta seperti biasa dan belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Sebelum ini Farid seakan-akan enggan mengulas mengenai hubungan cinta dengan Diana. Jadi, kenapa sekarang Farid lebih terbuka untuk bercerita?
Sepanjang tiga tahun bercinta saya lebih suka bercerita mengenai kerjaya berbanding kisah cinta. Namun, apabila ramai yang asyik bertanya tentang hubungan kami, maka saya rasa sudah tiba masanya untuk bercerita kepada pihak umum.
Baru-baru ini Farid turut hadir sewaktu majlis prebiu filem Jiwa Taiko. Adakah timbul perasaan cemburu sewaktu menyaksikan babak-babak romantik antara Diana dan Remy Ishak?
Apabila saya dapat tahu Jiwa Taiko khusus untuk tontonan 18 tahun ke atas, saya sudah dapat agak filem berkenaan memaparkan adegan yang saya anggap boleh menimbulkan kontroversi.
Bagaimanapun, melihatkan lakonan Diana dalam filem itu tidak timbul pula rasa cemburu kerana adegan yang membabitkan dirinya tidaklah keterlaluan. Malah, saya lebih tertarik dengan lakonan Bront Palarae dan Nadiya Nisa yang menampilkan lakonan yang sangat bagus.
Adakah Farid dan Diana pernah dapat tawaran berlakon bersama-sama dalam sebuah filem sepanjang menjalinkan hubungan cinta kalian?
Kami memang ada mendapat beberapa tawaran berlakon yang menggandingkan kami bersama-sama, tetapi kami mengambil keputusan untuk menolaknya. Saya melihat tawaran yang diterima itu lebih kepada mahu mengeksploitasikan hubungan kami untuk meraih keuntungan berbanding kekuatan jalan cerita.
Apakah projek terbaharu Farid sekarang?
Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Legenda Budak Setan 3 yang menggandingkan saya dengan Maya Karin. Pada pertengahan bulan ini saya akan terbabit pula dengan penggambaran filem aksi berjudul Dampak.
No comments:
Post a Comment